iPhone pertama diperkenalkan

 

29 Jun 2007, adalah tarikh keramat apabila Apple secara rasminya melancarkan iPhone pertama. Ini bermakna usia iPhone kini sudah mencapai sedekad pada 29 Jun 2017 yang lepas. Bermula dengan model iPhone 2G dan yang terkini ialah model iPhone 7 dan iPhone 7+ untuk tahun 2016. Dengan slogan “iPod, telefon dan peranti internet yang mendahului zaman” keluaran Apple ini mengubah landskap dunia telefon mudah alih. Terma peranti pintar mula digunakan secara meluas dan menjadi satu penanda aras permulaan era baru telefon. Produk keluaran Apple ini merupakan produk yang banyak memberikan kesan inovasi kepada pembangunan peranti pintar zaman sekarang. Berikut merupakan antara inovasi yang dipopularkan oleh iPhone dan menjadi ikutan pengeluaran peranti pintar yang lain.

Revolusi sebelum dan selepas iPhone diperkenalkan

 

  1. Skrin Sentuh Multi Touch

Skrin sesentuh 3.5″ iPhone ketika dilancarkan adalah dianggap gergasi jika dibandingkan dengan skrin peranti lain. Dengan multi touch pengguna diperkenalkan kepada pinch and zoom untuk mengubah saiz paparan gambar dan laman web. Pada iPad pula aplikasi boleh ditukar dengan menatal menggunakan lima jari. Kesemua ini bermula dengan iPhone.

2016 iPhone 7 Jet Black

 

2. Templat Rekaan Peranti Pintar

Jika kita lihat di pasaran sekarang terdapat banyak peranti pintar yang kini kelihatan seperti iPhone. iPhone boleh diibaratkan sebagai rujukan kepada rekaan yang malarhijau dan pada masa yang sama praktikal.

Jadi tidak melampau untuk mengatakan iPhone ialah “bapa kepada rekaan peranti pintar” yang wujud di pasaran sekarang. Dengan iPhone hanya terdapat satu butang fizikal yang merupakan butang home. Rekaan asas bahagian hadapan iPhone ini tidak berubah sejak dari generasi pertama. Namun begitu, rekaan ini dijangka akan berubah pada rekaan iPhone 8 akan datang yang dipercayai akan mempunyai pengimbas cap jari terbina pada skrin tanpa butang home.

Concept iPhone 8 untuk tahun 2017

 

3. Pemangkin Aplikasi

Rata-rata dari kita mempunyai aplikasi Whatsapp dan Instagram. Tahukah anda kedua-dua aplikasi berkenaan pada awalnya hanya ada pada perisian iOS. Pada tahun 2008 App store diperkenalkan bermula dengan iPhone 3G. Semenjak dari itu, terdapat banyak aplikasi yang dihasilkan untuk iOS dengan hasil jualan yang dipercayai mencecah hampir $70 Billion.

Aplikasi pada peranti mudah alih bukanlah perkara baru tetapi iPhone menjadi pemangkin kerana memudahkan proses pembelian, muat turun, pemasangan dan rekaan yang mesra pengguna memenuhi piawaian ketat Apple. Pada awal kewujudan iPhone, ia diiklankan dengan slogan  “there’s an app for that”untuk menunjukkan seleksi aplikasi yang jauh lebih besar pada platform iOS.

Aplikasi Whatsapp & Instagram

 

4. Pengimbas Cap Jari

iPhone 5S yang dilancarkan pada tahun 2013 mempopularkan pengguna pengimbas cap jari. Ia terbina pada butang home di bahagian hadapan peranti yang ini jauh lebih mudah digunakan. Hal ini juga yang menjadikan pengimbas cap jari pada iPhone antara yang mesra pengguna. Inovasi Apple ini kemudian diikuti oleh pengeluar-pengeluar lain dan menjadi rekaan standard kebanyakan peranti semasa. Seperti yang saya cakap tadi, “bapa kepada rekaan peranti pintar”

Cap jari untuk iPhone 5S, telefon pintar pertama menggunakan cap jari

 

5. Penggunaan HTML5

Steve Jobs bukanlah peminat nombor satu Adobe Flash. Beliau menulis artikel “Thoughts On Flash”  pada tahun 2010 mengenai sebab mengapa Flash tidak disokong pada peranti iOS. Antara sebab yang diberikan ialah ia memakan bateri, mempunyai kerentanan sekuriti dan tidak mesra peranti mudah alih.

Pada awalnya keengganan Apple untuk menyokong Flash menjadi bahan jenaka pengguna sistem operasi lain. Tetapi umum kita ketahui Steve Jobs terbukti betul dan tahun lalu hanya 5% laman web masih menggunakan Flash. Majoriti laman kini berpindah kepada HTML5 yang lebih terbuka, selamat dan tidak menyebabkan masalah apabila digunakan pada peranti pintar.

Adobe Flash yang tidak mesra pengguna

 

6. SIRI

Siri merupakan antara pembantu maya pertama yang dihasilkan dan digunakan dalam peranti pintar.  Mula diperlihatkan pada tahun 2011 dan hanya disokong oleh iPhone 4S. Kini ia boleh ditemui pada hampir kesemua produk Apple seperti MacBook, Apple Watch, Apple TV, iPod dan HomePod.

Aplikasi yang hanya mampu menjawab soalan-soalan mudah pada awalnya kini berevolusi untuk mampu berinteraksi dengan pengguna seperti insan sebenar menerusi teknologi kecerdasan buatan. Power tak?

SIRI, pembantu setia

 

7. Pemangkin Perbankan Mudah Alih

Penggunaan peranti pintar alih kini jauh melangkaui penggunaan komputer. Jika PayPal menjadi pemangkin e-dagang, Apple Pay adalah pemangkin kepada e-dagang pada peranti pintar mudah alih. Maklumat kad kredit disimpan pada peranti pintar dan untuk melengkapkan urus niaga pengguna hanya perlu menggunakan TouchID. Pembelian dapat dilakukan dengan cukup pantas.

Sistem yang sama boleh ditemui pada aplikasi perbankan peranti pintar mudah alih seperti Samsung Pay dan terkini Maybank/CIMB sudah mempunyai aplikasi untuk memudahkan urusan seharian kita.

Aplikasi Maybank pada iPhone

 

8. 3D Touch 

3D Touch diperkenalkan pada iPhone 6S dan 6S Plus. Skrin yang mampu mengesan tekanan membuka dimensi baru bagaimana elemen antaramuka iOS boleh dimanipulasi. Pelbagai menu tambahan boleh diakses dengan hanya menekan ikon. “Gimik” ini mula muncul pada peranti Android beberapa bulan selepas 3D Touch dilancarkan.

Sebenarnya kemampuan mengesan tekanan sudah wujud sejak Android 1.0 lagi tetapi pihak Google tidak menemui sebab untuk ia digunakan pada peranti pintar. Dengan Android 7.1.1, sistem menu tambahan dengan menekan ikon diperkenalkan pada Google Pixel. Ia kini boleh ditemui pada peranti lain seperti HTC U11 dan OnePlus 5.

3D Touch diperkenalkan pada model iPhone 6S 7 iPhone 6S Plus

 

9. Sistem Operasi Yang DIreka Khas

iPhone adalah peranti pintar pertama yang menggunakan sistem operasi yang direka khas untuk digunakan peranti mudah alih dan skrin sesentuh. Elemen antaramuka boleh diubah dengan mudah kerana tiada butang fizikal. Tiada manual diperlukan untuk menggunakan iOS kerana ia intuitif. Malah iOS hanya boleh digunakan untuk iPhone sahaja dan tiada pada jenama telefon pintar lain. Ada yang berpendapat bahwa iOS yang menjadikan harga iPhone mahal berbanding hardware.

Disebabkan itulah, iPhone tidak memerlukan spesifikasi yang tinggi untuk mendapat top performance. Ianya hanya bergantung pada iOS sahaja dan bukan hardware. Malah pengguna dapat menggunakan iPhone bertahun kerana kurangnya masalah lagging atau lembap. Jadi tidak perlulah untuk menukar iPhone setiap masa.

Revolusi iOS iPhone

 

Sumber :

  1. https://amanz.my/2017142383/
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/History_of_iPhone

 

iPhone iPad Mac Specialist